I bare witness that there is no god except Allah, and
I bare witness that Muhammad is the messenger of Allah.

Sunday, November 13, 2011

Islamkah aku??

Basree meletakkan quran tafsirnya ke sisi. Angin malam bertiup lembut terasa  begitu menenangkan hatinya.  Seusai bersolat isyak dan tarawikh secara berjemaah tadi, dia sempat menikmati juadah moreh yang telah disediakan oleh pihak masjid. Basree merenung jauh melihat sekumpulan  kanak-kanak yang sedang bermain futsal di gelanggang bersebelahan masjid. Alhamdulillah, meski keriuhan anak-anak kecil itu bermain bisa mengganggu jemaah solat, secara tidak langsung usaha itu sebenarnya membantu menggalakkan anak-anak muda datang ke masjid. Dewasa ini, banyak terjadi di kampung-kampung masalah kelengangan musolla dan masjid. Bila diteleki masalahnya, rupanya anak-anak muda ini semakin jauh dari masjid ada kalanya atas sebab semasa mereka di zaman kanak-kanak, para tetua yang selalu menghalang mereka bermain-main di masjid. Katanya, mengganggu jemaah yang sedang mendengar tazkirah dan beriktikaf. Mungkin ada benarnya, tetapi  alangkah bagusnya jika ibu bapa juga memainkan peran sebagai pembimbing anak-anak untuk memurnikan teguran ahli masjid.

“Assalamualaikum, akh. Kafa haluki??” Basree mengangkat kepalanya. Terlihat  Azlan, sahabat seakidahnya  sedang menghulurkan tangan dan tersenyum padanya. Di tangan kirinya terjinjit satu beg plastik berisi roti dan air kotak . Saudaranya itu baru sahaja menghabiskan pengajiannya dalam bidang agrikultur di Gunma University, Jepun. Sudah sebulan juga dia meneutralkan kembali perbezaan suhu, iklim dan suasana dengan kondisi tubuhnya.

“Waalaikumussalam, Lan. Jemputlah duduk”. Basree menyambut mesra huluran salam dan mengesot sedikit ke kanan untuk memberikan ruang duduk kepada Azlan. Sudah lama benar dia tidak bersua dengan bekas teman sekolahnya itu. Azlan yang dikenalinya suatu ketika dahulu merupakan pelajar yang paling “sopan” dan sering dipanggil ke bilik guru disiplin. Bermacam rekod  jahiliyyah (baca: disiplin)yang pernah  dicubanya. Dipanggil oleh unit bimbingan dan kaunseling apatah lagi. Bermula dengan ponteng sekolah, merokok, menyebarkan cd 18sx, menjadi dealer mercun dan bunga api dan yang paling berat, dia pernah mencuri buku rekod kehadiran dari pejabat sekolah dan membuangnya ke dalam sungai kerana berdendam dengan guru kelas. Sungguhpun begitu, syukur Alhamdulillah, hidayah Allah telah menyapa jendela hatinya untuk berubah. Keberadaannya di negara matahari terbit itu banyak merubah orentasi kehidupannya mengeluarkan hatinya dari lumpur jahiliyah menuju Allah.

“Jauh termenung? Fikir apa? Masalah umat? Atau seseorang?” Basree menyungging sengih mendengarkan gurauan Azlan.

“Terfikirkan Andalus. Kota yang dilimpahi cahaya selama 800 tahun apabila semuanya tunduk pada islam. Terfikir keberanian Tariq bin Ziyad meredah samudera untuk  berjuang dengan spirit jihad menunaikan hak syahadahnya. Ironik  apabila kota yang begitu gemilang kini menjadi suram dan tiada lagi penduduk yang mengenal Allah. Puncanya umat islam hilang semangat jihad, kepimpinan lemah, suka bermewahan  dan berpecah belah. Yang masih beriman dibakar dan digergaji oleh puak kristian hingga terbelah dua. Kaum wanita, orang tua dan kanak-kanak dibantai sesuka hati. Penduduk islam yang masih berbaki tidak dibenarkan solat walaupun di kediaman sendiri. Setiap masa, tentera kafir akan menyerbu ke rumah mereka untuk memastikan tiada walaupun setitik air yang menunjukkan tanda air wuduk  membasahi  lantai kediaman. Jika didapati ada, mereka akan ditangkap dan diseksa. Akhirnya, tiada lagi umat islam di Andalus . Semuanya hilang ditelan ketakutan dan zaman yang semakin menjerat. Tidak hairan andai negara kita bisa mengulang sejarah yang sama apabila sistem Allah tidak diaplikasikan.” Seperti bernostalgia, Basree merenung ke dada langit. Terbentang angkasa dihiasi bintang- bintang dengan kelip-kelip kapal terbang melintasi sang bulan separa lama. Menandakan umat islam sedang melalui fasa terakhir ramadahan, iaitu pembebasan dari api neraka.

“Erm, betul tu.” Azlan mengiakan. “ Ana pernah terbaca satu artikel, penduduk asal di Sepanyol kini tiada yang beragama islam. Hal ini disebabkan selepas 300 tahun kaum nasrani menguasai Sepanyol, segala bukti dan simbol islam dihapuskan. Masjid Cordova sekarang ini dijadikan muzium dan gereja. Muslim hanyalah penduduk yang berhijrah dari Maghribi dan menetap di sana..”  

“Itulah akibatnya  apabila masing-masing terutamanya umat islam hilang norma-norma islam. Kesedaran tauhid semakin menipis, apatah lagi pelaksanaan syariah. Sepertimana kita tahu, perkataan ISLAM itu sendiri membawa maksud sejahtera dan berserah diri. Anta tahu tak kenapa agama kita ini dinamakan islam?” Basree melontarkan soalan sambil memandang Azlan sekilas.

Azlan mengerutkan dahi, berfikir sambil merenung pohon kelapa di hadapan pintu pagar masjid. Hembusan angin malam yang lembut sepertinya melambai  liuk lentuk bilah-bilah daun kelapa yang senantiasa mengalunkan zikir kepada Rabb. Sepertinya melambai-lambai  orang lalu lalang disekitar sambil menyapa “Marilah masuk ke rumah Allah ini... Marilah masuk mengimarahkan rumah ini. Lupakanlah sebentar urusan duniamu dan kejarlah fasa dimana para malaikat akan mengaminkan setiap doamu..”.

“Hasil pembacaan ana, semua fahaman atau agama selain islam namanya diambil dari orang yang mempeloporinya. Contohnya Buddha diambil dari nama Gautama Buddha, Confuciusnisme diambil daripada Khung Fu Zi. Hal ini jelas menunjukkan Islam ini disusun oleh Pencipta yang Maha Tahu apa yang terbaik untuk ciptaanNya, sistem apakah yang paling sesuai untuk semua makhluk dan peraturan apa yang perlu digariskan untuk menjamin keseimbangan alam semesta. Ana ambil analogi yang mudah, seperti sekolah yang ada asrama. Cubalah bayangkan andainya sekolah tersebut  tak  ada peraturan, sesuka hati je penghuni asrama tu nak buat apa. Nak bangun, mandi pukul berapa, nak outing ikut sedap kaki, nak makan kat bilik belajar, nak solat ikut Jemaah atau tidak… Boleh terbalik sekolah tu. Bila ada peraturan, secara tak langsung pelajar akan berdisiplin, patuh arahan. Produk-produk dalam bentuk sumber manusia juga lebih proaktif. Isy, teringat pula zaman kita sekolah dulu.” Tercetus tawa kecil dari bibir Azlan. Merefleks kembali kenakalan yang telah menyebabkan sekolah tersebut menjadi agak popular dalam buah bulut pelajar-pelajar dari sekolah lain. (Note:Azlan bersekolah harian biasa sahaja ye…) 

Bunyi keriuhan kanak-kanak yang bermain sudah reda, menandakan mereka sudah pulang ke rumah, mengucapkan selamat tinggal dan kata sepakat kepada kawan-kawan sepermainan untuk berjumpa lagi pada hari esok. Basree dan Azlan serentak menala pandang kearah Kenari yang baru memasuki perkarangan masjid. Lampu dipadamkan dan kelihatan sipemandu dan penumpang disebelahnya keluar dari kereta.

“Assalamualaikum …Kabare akh? Waras?? Serentak Hazizi dan Izwan menyapa. Keempat-empat sahabat tersebut bertaut salam mesra. Lumrahnya,  kenikmatan bagi seorang daie adalah apabila berjumpa dengan saudara seperjuangan kendatipun sekadar bertegur di tepian jalan. Walaupun ayat pertama yang keluar adalah “Apa cerita sekarang??” sahaja, seorang akh ini sampai mengalirkan air mata kerana faham soalan itu bukan bertanyakan tentang keadaan dirinya, tetapi sebenarnya tentang kondisi dakwah, bagaimana progress mad’u binaannya dan situasi medan juangnya.

“Sembang apa duduk-duduk di luar ini?  Afwan sampai lewat. Tadi ziarah mutarabbi Izwan yang baru lepas operate appendiks. Kebetulan pula ayahnya memang orang berilmu. Jadi kami ambil kesempatan menadah sikit ilmunya. Buat bekal di sepanjang jalan. Hazizi bercanda ringan, mengambil tajuk buku tulisan Ustaz Mustafa Mahsyur, Bekalan di Sepanjang Jalan Dakwah.”

“Jom masuk dalam, sejuk kat luar ni. Kalau ye pun rindu winter, nanti kita jaulah ke Genting  ye. Main salji kat pusat ais kat situ ”

Mereka melangkahkan kaki ke sudut belakang, melintasi beberapa ahli Jemaah yang sama-sama merebut peluang ibadah pada malam-malam akhir Ramadan. Terdapat sekumpulan lelaki muda yang berkumpul di hujung sana, sahabat sefikrah mereka juga. Semuanya tidur awal untuk qiamulail seawal mungkin esok. Sungguh damai apabila tidur beramai-ramai hanya bertilamkan karpet yang keras dan berbantalkan beg(lenguh kalau guna lengan), apatah lagi al-Quran terletak diatas dada. Mungkin mereka tertidur ketika menghabiskan bacaan tadi. Masing-masing seperti bersaing untuk mengkhtamkan al-Quran sebanyak yang mampu dalam bulan yang berkah ini. Basree, Azlan, Hazizi dan Izman mengambil posisi jauh sedikit dari kumpulan itu, bimbang andai perbualan mengganggu lena ahli yang lain.

“Kenapa kita memilih Islam sebagai agama, ye. Itulah tajuk perbincangan kita hari ini ye.” Azlan mengajuk gaya motivator terkenal, Dato’ Fadilah Kamsah.

“Baiklah, izinkan ana mulakan dulu,”Izwan bersuara sedikit formal. Azlan menyiku perlahan rusuk Izwan tanda bergurau.

“Apabila bersyahadah, ertinya kita sudah masuk dan mengaku menjadi orang islam. Syahadah itu seperti kunci yang membuka pintu Islam, yang memindahkan kita dari gelap jahiliyah kepada cahaya islam. Mungkin kita tak sedar sebab sebelum bermula dari perut ibu  lagi kita mendidik kita dengan islam. Berbeza dengan Abu Bakar, Mus’ab b Umair, dan Umar al-Khattab yang pernah merasai zaman kelam jahil dengan sinar islam. Mereka faham erti syahadah itu. Mereka tersangat terdorong untuk mensayonara setiap perkara yang bertentangan dengan islam. Abu Bakar yang terus mengajarkan syahadah kepada lapan orang yang lain, Mus’ab yang tega melarikan diri dari rumahnya yang mewah semata-mata untuk menjaga imannya dan Umar yang berani memancung kepala setiap orang yang menghalang perjalanan hijrahnya.” Izwan diam sebentar, menyusun ayat untuk ulasan seterusnya.
“Sifat Islam itu juga adalah tunduk dan patuh(berserah diri) tanpa ragu-ragu. Patuh dengan apa yang telah digariskan dalam addin. Taat pada setiap perintah Allah dan meninggalkan larangannya tanpa kompromi. Seperti Nabi Ibrahim yang patuh perintah Allah untuk menyembelih anak yang jauh ditinggalkan di sahara yang gersang. Akhirnya berkat kesabaran dan keikhlasan hati, Allah menggantikan anaknya itu dengan seekor kibas. Kita relatekan dengan diri kita. Sebenarnya setiap kesusahan yang kita lalui, setiap titis darah, peluh dan arir mata yang memerah tubuh ini adalah ujian Allah untuk hambanya. Untuk menguji adakan hambaKu ini ikhlas untuk menjadikan islam sebagai orentasi hidupnya. ”

“Hurm, betul tu. Addin itu adalah sistem keseluruhan hidup ini. Bermula dari sekecil-kecil penciptaan manusia hingga sebesar-besar sistem seperti sistem cakrawala. Millat pula adalah cara hidup seseorang seperti persoalan adab dan sebagainya. Semuanya bernaung atas satu sistem iaitu ISLAM. Rumusan mudah adalah seperti ini” Hazizi meletakkan buku catatan di tengah-tengah bulatan mereka sambil melakarkan sesuatu.
addin
millat
 





“Bila semua manusia dah tunduk pada islam, alam sarwajagat menjadi sejahtera kerana hukum Allah ditegakkan. Islam ini menjadi ustaz kepada alam. Semua perkara akan berlandaskan norma-norma islam. Lihat pula dunia kita sekarang ini yang ana berani katakan yang islam sekadar dipinggiran sahaja. Buktinya lihatlah pada pemerintahan, ekonomi dan sosial sekarang.  Makhluk yang bukan manusia pun jadi marah. Gempa bumi sana sini, pemanasan glogal, cuaca yang semakin tak menentu. Semua ini berpunca dari tangan-tangan rakus manusia sendiri.” Hazizi berbicara tenang. Merenung setiap mata yang tekun memandangnya.

“Contohnya kalau pada zaman kegemilangan islam dahulu, qiamullail menjadi perkara biasa yang dilakukan oleh umat islam tak kira tua atau muda. Tapi sekarang ini, bila kita solat malam, tutup aurat sesetengah orang pelik. Pernah satu ketika, ana main bola sepak pakai seluar panjang . kawan tegur, “Eh, kau main bola pakai seluar panjang? Susah nak lari kejar bola nanti”. Soalan lain pula, ”Eh, kau solat ape pukul 9 setengah pagi ini?” Tak mustahil jika kita sendiri yang tak lakukan hak syahadah ini, anak cucu kita dan besar kemungkinan di Malaysia sendiri, islam tak bertapak. Tak mustahil juga islam di Malaysia hanya di tinta-tinta sejarah dan di tinggalan-tinggalan masjid yang menjadi bangunan sejarah apabila izzah islam itu hilang dari penganutnya.”

Azlan, Basree dan Izwan mengangguk-angguk mengiakan. Apabila pelaksanaan ibadah  yang sememangnya lazim dilakukan semakin lama makin ditinggalkan, generasi baru merasa pelik apabila ada golongan yang membuatnya. Kerana mereka tidak diajar mengenal islam sedasar-dasarnya.

Lampu ruang dalam masjid gelap satu persatu. Pak cik siak memadamkan lampu, memberi ruang pada mereka untuk mengakhiri perbualan.

“Jadi, sebab itulah Allah telah menetapkan tujuan hidup seorang muslim itu adalah ibadah dan khalifah. Menjadi soleh dan mensolehkan orang lain. Membuka jalan-jalan hati yang jauh dari Allah. Bukan sekadar menjadi baik untuk diri sendiri. Kerana kelak di akhirat masing-masing akan menyalahkan sesama sendiri apabila ditakdirkan untuk masuk neraka.” Basree  membuat kesimpulan sambil tersenyum melihat Azlan yang menahan kuap. Faham signal yang diberikan oleh temannya itu. Hazizi pula bertindak sebagai pengerusi majlis, menutup perbincangan mereka dengan tasbih kaffarah dan surah al-Asr. Masing-masing berlalu mencari tempat tidur untuk merehatkan tenaga untuk digunakan esok hari.

Bunyi cengkerik menjadi melodi malam yang indah untuk keempat-empat sahabat itu. Ukhwah mengajar mereka erti  kebersamaan, merasai detik getir dan sukar walaupun medan masing-masing berbeza. Munajat mereka cuma satu, supaya dapat berjumpa di syurga kelak.